Kepentingan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Terhadap Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Oleh: Ain Nazura Wanda binti Duis

 


Pendidikan di Malaysia telah bermula sebelum penjajahan lagi dan sentiasa berkembang seiring dengan peredaran zaman. Perkembangan pendidikan di Malaysia telah melalui pelbagai zaman iaitu zaman era masyarakat tradisional, era penjajahan, era sebelum dan selepas merdeka hinggalah era masa kini. Ianya telah dirancang bagi menghadapi cabaran masa hadapan bangsa dan negara. Semakin beredarnya zaman maka pendidikan negara semakin berkembang. Pendidikan adalah asas kepada pembentukan manusia yang bertamadun dan berilmu pengetahuan serta mempunyai nilai-nilai kerohanian. Pada era masyarakat melayu tradisional pendidikan pada ketika itu bercirikan pendidikan agama Islam, adat, adab, pertahanan diri, ekonomi dan kemasyarakatan. Ianya berkembang dalam institusi madrasah dan sekolah pondok. Kemudian pada era penjajahan, pendidikan diterapkan melalui ideologi dan pembentukan sekolah vernakular. Pada era kemerdekaan dan pasca kemerdekaan, pendidikan mulai berkembang iaitu sekolah kebangsaan telah ditubuhkan yang menjurus kepada tujuan penyatuan kaum. Pada tahun 1996 Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah diwartakan yang pada asalnya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan digubal oleh pakar-pakar pendidikan secara teliti dengan mengambil berat keperluan dan kepentingan individu masyarakat dan negara.

KEPENTINGAN FPK TERHADAP PERKEMBANGAN PENDIDIKAN

Falsafah Pendidikan Kebangsaan Sebagai Panduan Pelaksanaan Pendidikan 

Sudah semestinya falsafah ini mempunyai keunikan yang tersendiri dan digubal sesuai dengan masyarakat di Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah sebagai panduan dan arah tuju dalam perancangan dan pelaksanaan sistem pendidikan di negara kita untuk mewujudkan sistem pendidikan yang unggul dan bertaraf dunia. Ianya adalah hasil garapan dari pelbagai aliran falsafah yang berteraskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. FPK juga adalah falsafah pendidikan yang bercirikan gabungan antara falsafah pendidikan barat dan falsafah pendidikan Islam dan membentuk sebuah falsafah yang bersifat eklektik iaitu falsafah pendidikan yang tercipta dari pelbagai sumber. Setiap perkara yang terkandung dalam FPK membawa kesan yang penting dalam perkembangan pendidikan di Malaysia.

Di masa kini, pendidikan di negara kita berada di landasan yang tepat dan jauh ke hadapan. Oleh yang demikian, Falsafah Pendidikan Kebangsaan mempunyai banyak kepentingan terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia. Falsafah ini telah membawa kepada perkembangan pendidikan di Malaysia yang semakin maju ke hadapan dan mampu untuk berdaya saing serta menghadapi cabaran.


Pernyataan ini merupakan kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. FPK dijelaskan dalam bentuk pendidikan, proses pendidikan dan juga matlamat pendidikan itu sendiri. Perkara-perkara inilah yang telah memicu kepada perkembangan pendidikan di Malaysia.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan Mengembangkan Potensi Individu 

Merujuk kepada pernyataan FPK, pendidikan adalah kearah memperkembangkan lagi potensi  insan yang seimbang dan harmonis dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Potensi intelek merujuk kepada keupayaan mental iaitu akal dan daya fikir yang dimiliki seseorang. Ianya merupakan unsur yang penting dalam mengembangkan sesuatu ilmu pada diri manusia. Seseorang itu akan mempunyai pemikiran yang kreatif, kritis dan inovatif serta mampu memanfaatkan ilmu untuk diri dan orang lain. Selain itu, dapat meningkatkan ilmu dan mempunyai kemahiran asas 4M iaitu, menulis, membaca, mengira dan menaakul. Potensi rohani pula merujuk kepada jiwa dan kalbu yang melibatkan hubungan seseorang dengan Tuhan. Keteguhan rohani akan membentuk individu yang berakhlak mulia, membina disiplin diri, menghargai dan mensyukuri pemberian Tuhan serta menyedari kewujudan Tuhan sebagai Pencipta. Emosi pula berkaitan dengan jiwa dan perasaan seseorang yang mempengaruhi bagaimana seseorang itu bertindak dan bertingkah laku. Justeru, FPK memastikan bahawa seseorang individu memiliki semangat dan kekitaan, perasaan yang tenang dan tingkah laku yang terkawal. Selain memupuk perasaan kasih sayang dan menghargai keindahan dan kesenian. Di samping itu, potensi jasmani adalah keupayaan psikomotor seseorang. Ianya merujuk kepada kcergasan fizikal diri manusia dalam melakukan riadah, menjaga kesihatan badan, mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal dan sebagainya. Justeru FPK menggariskan modal insan yang akan terlahir menerusi proses pendidikan yang telah ditetapkan. Ini adalah penting dalam perkembangan pendidikan dimana modal insan merupakan individu yang diberi penekanan dalam menghasilkan sistem pendidikan yang cemerlang.

Melahirkan Rakyat Malaysia Yang Berbakti Kepada Masyarakat dan Negara

Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga memastikan rakyat Malaysia itu dapat memberi sumbangan dan melaksana tanggungjawab kepada masyarakat. Seseorang individu akan berupaya untuk mematuhi peraturan dan undang-undang negara, menyedari bahawa tugas untuk membentuk masyarakat yang harmoni dan makmur, membina perpaduan dan mewujudkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat perlu dilaksanakan melalui pendidikan ini. FPK juga menegaskan bahawa seseorang individu akan dapat meningkatkan produktiviti yang akhirnya dapt memberi kesan terhadap pembangunan negara iaitu dalam mengekalkan kestabilan negara, bersemangat patriotik dan cintakan negara dan menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara. Bahkan melahirkan individu yang juga dapat menyumbang kepada kemajuan ekonomi bangsa dan negara dengan menggunakan sains dan teknologi serta memupuk toleransi dan hormat menghormati untuk perpaduan. Individu yang mampu berbakti kepada masyarakat dan negara merupakan tanda dan keberhasilan pendidikan di Malaysia dan mampu mengembangkan lagi pendidikan ke arah kecemerlangan.

 FPK juga membangunkan insan secara seimbang dan harmonis. Ianya penting agar tiada aspek yang diberi perhatian yang lebih dan tiada yang kurang bagi membentuk keluarga dan masyarakat serta negara yang aman dan damai. Pendidikan yang dinyatakan hendaklah berpaksikan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Dalam Rukun Negara, kepercayaan kepada tuhan berada di prinsip yang pertama. Kepercayaan dalam beragama adalah penting bagi mengawal diri individu. Setiap individu perlu yakin wujudnya Tuhan sebagai Pencipta manusia dan alam ini dan segala hukum perlu difahami dan dipatuhi agar kemakmuran dan kesejahteraan diri terpelihara.

Mewujudkan Sistem Pendidikan Yang Sistematik

Pembentukan elemen-elemen potensi dalam diri individu memerlukan kepada proses pelaksanaan yang cekap. Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menetapkan proses pelaksanaannya adalah secara menyeluruh, bersepadu, seimbang dan harmoni. Proses pelaksanaan secara menyeluruh ialah merujuk kepada bakat, potensi dan kebolehan perlu dihubungkaitkan untuk mengelakkan pertentangan berlaku. Bersepadu adalah merujuk kepada peningkatan dan perkembangan intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pelaksanaannya juga perlu seimbang iaitu individu mestilah mempunyai ilmu, sahsiah dan akhlak yang terpuji serta secara harmoni iaitu merujuk kepada kemampuan individu dalam menghadapi cabaran menerusi empat aspek tersebut.

Pendidikan di Malaysia adalah pendidikan secara berterusan yang bermula sejak dalam kandungan sehingga ke akhir hayat. Pendidikan berterusan ini melibatkan tiga peringkat iaitu peringkat awal, peringkat sekolah dan peringkat lepas sekolah dimana bentuk pendidikannya adalah secara formal, tidak formal dan nonfomal. Justeru sistem pendidikan yang sistematik penting dalam perkembangan pendidikan di Malaysia.



 

FPK juga memberi panduan kepada profesion keguruan agar hasrat yang terkandung dalam FPK dapat dicapai. Profesion keguruan merupakan profesion yang akan memikul amanah iaitu kerjaya sebagai pendidik perlu dilaksanakan. Dalam komponen ketuhanan, seseorang guru itu perlu menjadikan kerjaya sebagai guru itu adalah satu ibadah yang memberikan sumber rezeki dalam kehidupan. Oleh itu guru perlu berusaha sebaiknya dalam memberi didikan yang terbaik kepada anak murid. Selain itu, seorang guru perlu bertindak secara professional dalam menjalankan tugasnya. Seorang guru perlu sentiasa mencari dan meningkatkan ilmu dan sentiasa tahu mencari penyelesaian. Dalam pengajaran guru mestilah menguasai sesuatu perkara dengan mendalam, meluas dan terkini iaitu dalam kemahiran, pengetahuan, bahasa dan nilai. Guru juga merupakan seorang pembimbing, pemimpin dan pendorong kepada pelajar serta sentiasa mendahului dalam setiap perkara dengan meningkatkan tahap profesionalisme dalam diri.

Justeru, Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah mengaturkan setiap perkara dalam usaha melaksanakan sistem pendidikan yang terbaik. Tentang bagaimana bentuk pelaksanaan pendidikan, proses pendidikan dan juga matlamat serta bagaimana guru iaitu sebagai pelaksana dapat merealisasikan hasrat FPK ini sudah ditetapkan dengan mengambil kira setiap aspek agar keberhasilan pendidikan di Malaysia tercapai. 

Kesimpulannya, perkembangan pendidikan di Malaysia berimpak dari pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Setiap hasrat dalam FPK telah menjadikan sistem pendidikan berada di landasan yang betul dan jauh ke hadapan yang mengambil kira kepentingan dan keperluan semua pihak seterusnya mencapai keberhasilan dalam pembangunan insan, masyarakat seterusnya negara. Pendidikan merupakan asas yang penting dalam membangunkan sebuah negara yang maju dan mampu mendepani cabaran di masa akan datang. Maka, FPK telah membawa kepada suatu keberhasilan pendidikan yang setanding dengan negara-negara maju yang lain serta memperkembangkan lagi sistem pendidikan ke arah yang lebih cemerlang.


No comments:

Post a Comment